Guru besar dan guru tidak mempunyai hak untuk memaksa ibu bapa mahupun penjaga membeli buku kerja. - Foto Bernama.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap guru besar mahupun guru yang gagal mematuhi Pekeliling Ikhtisas Bil 1/2000: Penggunaan Buku Kerja Di Sekolah Rendah.
Penegasan itu dibuat Timbalan Menteri II, Datuk Chong Sin Woon susulan aduan yang diterima berkaitan penjualan dan penggunaan buku kerja murid sekolah rendah baru-baru ini.
Tegas beliau, setiap guru besar dan guru tidak mempunyai hak untuk memaksa ibu bapa mahupun penjaga membeli buku kerja.
Malah katanya, guru juga dilarang menggunakan buku kerja yang diterbitkan penerbit luar ketika proses pengajaran dan pembelajaran (PDP).
"Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib jika ada guru atau guru besar yang ingkar dengan pekeliling tersebut," katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Tambah Chong, buku kerja juga tidak dicadangkan kepada murid tahap satu iaitu darjah 1, 2 dan 3.
Manakala katanya, bagi murid-murid Tahap 2, hanya satu judul buku kerja sahaja dibenarkan untuk setiap murid bagi setiap satu mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
Tambah Sin Woon, sekiranya buku kerja terbitan luar diguna pakai semasa PDP ia akan menyebabkan murid yang tidak memiliki buku kerja berkaitan akan ketinggalan.
"Buku kerja sepatutnya menjadi tambahan selepas PDP. Kita ada guru panitia bagi setiap subjek dan guru tersebut yang sepatutnya membuat cadangan berkenaan buku kerja yang paling sesuai hanya satu judul yang akan digunakan.
"Itu hanya cadangan dan ibu bapa masih boleh memilih untuk tidak membeli walaupun mereka (guru) hanya dibenarkan mencadangkan satu judul buku dan tiada unsur paksaan untuk membeli buku tersebut," katanya.
Malah, isi kandungan buku kerja tersebut juga perlu bersesuaian dan menepati panduan Kementerian Pendidikan selain harga yang tidak membebankan ibu bapa.
Ujarnya, kebanyakkan dakwaan yang diterima adalah dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) melibatkan jumlah buku kerja yang banyak selain tidak memenuhi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
"Saya ingin kongsikan satu senarai dari satu sekolah SJKC tanpa memaklumkan nama sekolah tersebut di mana buku kerja Bahasa Cina sahaja terdapat lima judul, Bahasa Inggeris tujuh judul manakala Bahasa Melayu terdapat lima judul. Hanya tiga subjek bahasa sudah 17 buku latihan dibeli.
"Malah, ada juga buku kerja subjek yang tidak sepatutnya ada buku latihan seperti Moral dan Sejarah," tegasnya.
Justeru, beliau mengarahkan kementerian untuk mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk naziran di sekolah-sekolah untuk memastikan pekeliling tersebut dipatuhi.
Sumber: Astro Awani
0 comments:
Post a Comment