KUALA LUMPUR 24 Okt. - Kementerian Pendidikan memberi jaminan tidak akan menutup sekolah kurang murid walaupun kos pengoperasian untuk sekolah-sekolah terbabit menelan belanja sehingga RM2 bilion setahun.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tinjauan analisis terhadap sekolah kurang murid mendapati kos pengoperasiannya adalah tinggi iaitu RM67,130 setiap murid setahun berbanding hanya RM5,321 setiap murid setahun untuk sekolah biasa.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa dasar Kementerian Pendidikan adalah jelas iaitu sekolah kurang murid tidak akan ditutup.
“Malah pelajar tidak akan dipindahkan sehingga mendapat persetujuan ibu bapa dan masyarakat,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) mengenai langkah yang diambil kerajaan dalam pengurusan sekolah kurang murid.
Menurut Mahdzir, berdasarkan data pada 31 Mac 2016, terdapat 2,996 buah sekolah rendah berada di bawah kategori sekolah kurang murid.
“Kementerian sedang melaksanakan pelan hala tuju sekolah kurang murid iaitu penggredan semula sekolah-sekolah berkenaan, penempatan guru pemulihan dan pelaksanaan guru di kelas bercantum,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kementerian turut merangka strategi jangka masa panjang seperti penggabungan sekolah dalam radius lima kilometer bagi sekolah sama aliran.
Sumber: Utusan Online
0 comments:
Post a Comment