Selamat Datang

Selamat datang kepada semua pengunjung ke laman blog Majlis Guru Besar Daerah Batang Padang - Muallim.

Anjakan Ke-5

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Tahniah

Tahniah kepada YAB Mohd Faisal bin Dato Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Monday, November 27, 2017

Warga Pendidik Ejen Penting TN50


PRESIDEN Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kiri) bersama Juara dari IPG Kampus Sultan Mizan, Mashanis Mohamad (dua kanan) pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pidato Piala Presiden Gagasan 2017 di The Mines Shopping Fair. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Warga pendidik adalah golongan penting dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerana hubungan mereka yang rapat dengan masyarakat terutama pelajar dan ibu bapa.

Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata guru bakal menjadi ejen untuk mentransformasi negara dengan mengangkat suara rakyat selaras dengan 'bottom-up approach'.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kemajuan yang ingin dicapai negara pada 2050 kelak bukan sekadar fizikal, namun memerlukan keseimbangan dalam aspek agama dan norma ketimuran.

"Pandangan warga pendidik penting kerana mereka antara pemegang taruh utama dalam menjayakan TN50. Ini kerana telinga merekalah yang mendengar keluhan, harapan, hasrat dan keinginan masyarakat.

"Segala pandangan dalam hujah peserta pidato itu akan dikumpulkan sebelum diserahkan kepada Sekretariat TN50," katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan Pidato Piala Presiden Gagasan, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Rusmini Ku Ahmad; Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar dan hubungan Luar IPGM, Rahim Abdul Latiff; Setiausaha GAGASAN, Syed Anuar Syed Mohamad dan Pengerusi Pertandingan, Apli Yusof.

Pertandingan itu membabitkan saingan 22 peserta merangkumi guru pelatih daripada 21 institut pendidikan guru (IPG) di seluruh negara sebelum 12 layak ke separuh akhir dan seterusnya hanya lapan dipilih ke pusingan akhir.

Pertandingan dengan tema TN50: Memakmur Ekonomi yang Inklusif itu menyaksikan pelajar IPG Kampus Sultan Mizan, Mashanis Mohamad muncul juara.

Kemenangan itu membolehkan Mashanis membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil. Tempat kedua dimenangi Nurlyana Ezani daripada IPG Kampus Bahasa Melayu Malaysia, manakala tempat ketiga dimenangi Afdal Shyarmeezan Sapawi yang turut mengungguli Kategori Teks Terbaik. - BH Online

Pelaksanaan SKPM Gelombang Kedua Ditangguhkan


PADANG TERAP 26 Nov. - Pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) gelombang kedua yang sepatutnya dilaksanakan pada penghujung tahun ini, ditangguhkan ke tahun depan atas sebab-sebab teknikal.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penangguhan tersebut dibuat setelah beliau berbincang bersama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin mengenai perkara itu, petang ini.

"Dalam perbincangan menerusi panggilan telefon itu, kami berdua bersetuju yang perkara ini perlu ditangguhkan ke tahun depan kerana ada masalah teknikal. Jadi guru-guru tak perlu laksanakan dulu perkara itu.

"Perkara ini melibatkan Jabatan Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK). Hari ini saya umumkan dulu penangguhannya dan esok atau lusa, kementerian akan mengeluarkan perinciannya untuk dimaklumkan ke sekolah-sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah Kejohanan Bola Sepak Bawah 10 tahun Piala Menteri Pendidikan 2017 di Sekolah Kebangsaan Padang Terap di sini, hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/pelaksanaan-skpm-gelombang-kedua-ditangguhkan-1.560885#ixzz4zdhwCkMN
© Utusan Melayu (M) Bhd

SPP, MPPP Bantu Tubuh Suruhanjaya Pendidikan


PADANG TERAP - Pemerkasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) dan Majlis Perkhidmatan Penasihat Pendidikan (MPPP) dapat bantu memenuhi cadangan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan bagi memantapkan aspek pendidikan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya melihat cadangan tersebut sebagai sesuatu yang baik namun peranan dan fungsi kedua-dua badan itu harus diperincikan dan dilihat semula terlebih dahulu.

"SPP yang fungsinya terhad kepada perkhidmatan perguruan seperti temuduga, lantikan dan pengesahan guru mungkin boleh dirombak dan diperkemaskan semula supaya ia menjadi ‘regulator’ dalam pelaksanaan dasar pendidikan.

"Saya juga ingin nyatakan mengenai MPPP yang diwujudkan sebagai penasihat kepada dasar pendidikan negara. Majlis penasihat ini boleh dikaji semula peranannya dengan diberi mandat yang lebih luas selain menasihati pelaksanaan dasar pendidikan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Bawah 10 tahun Piala Menteri Pendidikan Malaysia 2017 di Sekolah Kebangsaan Padang Terap di sini hari ini.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa semalam mencadangkan penubuhan suruhanjaya itu bagi memandu sistem pendidikan negara agar sentiasa konsisten dan berada pada landasan yang tepat.

Ia juga untuk memastikan dasar pendidikan tidak berubah setiap kali menterinya bertukar.

Cadangan itu dipersetujui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menurutnya bertujuan memastikan pemerkasaan dan kesinambungan pelaksanaan dasar pendidikan negara.

Dalam pada itu Mahdzir berkata Ketua Pengarah Pelajaran akan mengeluarkan surat pekeliling khas kepada Pengarah Pendidikan Negeri esok untuk meminta mereka mengedarkannya kepada semua Pejabat Pelajaran Daerah dan guru besar bagi melaksanakan arahan termaktub dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI).

Ia berhubung kehadiran guru semasa cuti persekolahan. Guru hanya perlu hadir ke sekolah ketika cuti tersebut jika ia melibatkan tugasan rasmi seperti kursus, mengawas peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia dan bukan bertugas menjaga pejabat sekolah secara bergilir-gilir.

Beliau turut mengumumkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang Kedua yang sepatutnya dimulakan bulan ini akan ditangguhkan ke tahun hadapan disebabkan beberapa perkara teknikal,

"Perincian mengenai penangguhan ini akan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran dalam masa terdekat," katanya. - Sinar Harian Online

Saturday, November 25, 2017

Sektor Pendidikan Negara Perlu Diperkasakan Seiring ICT


KUALA LUMPUR 25 Nov. - Sektor pendidikan negara harus diperkasakan dengan sepenuhnya seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) masa kini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana sektor pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam merealisasikan visi Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi.

"Dengan memaksimakan manfaat teknologi perkomputeran dan liputan talian internet menyeluruh, para guru dan pelajar juga berupaya memperoleh sumber Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian dengan menggunakan teknologi seperti termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025," katanya pada Majlis Perasmian Seminar KL Edtech 2017, dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr. Aliah Ahmad Shah.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Brickfields Asia College (BAC) merangkap Pengasas freeschool.my, Raja Singham dan Pengerusi RumahKod, Normie Azura.

Kira-kira 300 guru dari seluruh negara menghadiri Seminar KL Edtech 2017 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini. - Utusan Online.

KPM Serah Kertas Laporan Berkaitan Gred Guru Besar Kepada TPM


MAHDZIR berkata kementeriannya telah menyerahkan Kertas Laporan Butiran dan Maklumat berkaitan jumlah serta lokasi sekolah para guru besar yang terbabit dalam proses kenaikan gred kepada TPM Ahmad Zahid. - Gambar Astro Awani

SEPANG: Kementerian Pendidikan telah menyerahkan Kertas Laporan Butiran dan Maklumat berkaitan jumlah serta lokasi sekolah para guru besar yang terbabit dalam proses kenaikan gred kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata laporan tersebut telah diserahkan ketika pertemuan beliau dengan timbalan perdana menteri hari ini untuk perhatian selanjutnya susulan isu gred jawatan guru besar dan penolong kanan yang dikatakan tidak memuaskan.

"Masih belum dibincang (di peringkat Kabinet) tetapi saya telah maklumkan kepada timbalan perdana menteri dalam bentuk jumlah keseluruhan nama dan gred guru besar dan akan dibincangkan dalam Kabinet nanti," katanya kepada pemberita elepas merasmikan Majlis Konvokesyen dan Apresiasi Sekolah Kiblah di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga penasihat tetap Sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata isu gred pentadbir di sekolah rendah khususnya guru besar dan penolong kanan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet ekoran permintaan tangga gaji sedia ada dikaji semula untuk perjawatan tersebut.

Yang Dipertua Majlis Guru Besar (MGB) Perak, Rustam Affandy Abdul Aziz sebelum ini menyuarakan permohonan agar kerajaan mempertimbang gred jawatan pentadbir di sekolah rendah disamatarafkan dengan jawatan kenaikan pangkat di sekolah menengah iaitu DG52 bagi guru besar dan DG48 bagi guru penolong kanan.

Menurutnya, pada ketika ini, guru dilantik ke jawatan guru besar kekal di gred jawatan disandang iaitu DG34 dan hanya diberi elaun sebanyak RM200 manakala guru penolong kanan, kekal di gred hakiki DG32 dengan menerima elaun sebanyak RM60 sedangkan pada masa kini mereka adalah guru-guru siswazah.

Berhubung Sekolah dan Maahad Kiblah, Mahdzir berkata kecemerlangan institusi pendidikan swasta itu harus dicontohi sekolah agama swasta lain.

"Mereka bukan hanya menyediakan pengajian hafazan Al-Quran tetapi turut memberi sistem pendidikan akademik yang disediakan Kementerian Pendidikan dan juga latihan vokasional kepada para pelajar... ini harus dicontohi sekolah agama swasta yang lain, " katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata Sekolah dan Maahad Kiblah baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud di Riyadh, Arab Saudi bagi pembinaan pusat linguistik.

"MoU ini merupakan putik kejayaan sekolah ini sekaligus mengembangkan pilihan pengajian yang ditawarkan sekolah ini," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, November 23, 2017

Bicara Pendidikan Bersama Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Batang Padang


Penyampaian cenderahati oleh Tuan Ketua PPD Batang Padang

23 Nov - Majlis Guru Besar Daerah (MGB) Batang Padang dan Muallim telah menganjurkan majlis Bicara Pendidikan bersama Ketua Pendidikan Daerah Batang Padang.

Majlis berbentuk santai tersebut dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara guru besar seluruh daerah Batang Padang dan Muallim dengan pihak PPD.

Pelantikan barisan exco MGB daerah Batang Padang dan Muallim bagi sesi 2018 juga turut diadakan. Seramai 28 guru besar telah menerima watikah pelantikan pada hari tersebut.

Dalam majlis tersebut, Ketua PPD daerah Batang Padang dan Muallim turut menyampaikan perkongsian ilmu berkaitan kepimpinan pendidikan.

Majlis juga turut dihadiri oleh Ketua PPD daerah Muallim Encik Saipol Bahrin bin Sulaiman.

Penyampaian cenderahati sebagai mengenang jasa guru besar-guru besar daerah Batang Padang dan Muallim juga turut disampaikan oleh ketua PPD Batang Padang.





Wednesday, November 22, 2017

Kabinet Kaji Gred Gaji Guru Besar, Penolong Kanan


IPOH 21 Nov. – Isu gred pentadbir-pentadbir di sekolah rendah khususnya guru besar dan penolong kanan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Jumaat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sendiri akan membawa hasrat tersebut ekoran permintaan tangga gaji sedia ada dikaji semula.

Tambah Ahmad Zahid, meskipun berdepan kemungkinan sektor lain akan turut menuntut perkara sama, namun demi profesion perguruan, beliau tetap akan membawa perkara tersebut Jumaat ini.

“Kabinet akan bersidang Jumaat ini. Saya berjanji akan bawa hasrat cikgu-cikgu ini. Secara rasionalnya, bila minta naik gred guru besar, sektor lain yang turut mempunyai tangga gaji serupa pun akan minta perkara sama. Kita akan tengok semuanya, tapi beri keutamaan pada cikgu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konven­syen Perdana dan Persidangan Perwakilan Majlis Guru Besar Negeri Perak Kali Ke-30 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan; Menteri Besar, Datuk Seri. Dr. Zambry Abd. Kadir; Yang Dipertua Majlis Guru Besar Negeri Perak, Rustam Affandy Abdul Aziz dan Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Mat Lazim Idris.

Sementara itu, terdahulu, dalam ucapannya, Rustam Affandy memohon supaya gred jawatan pentadbir-pentadbir di sekolah rendah khusus guru besar dan penolong kanan disamatarafkan dengan pentadbir di pe­ringkat sekolah menengah.

Kata beliau, ketika ini jika seorang guru dilantik ke jawatan guru besar sekolah rendah, beliau akan terus kekal di gred jawatan yang disandang DG34 dan hanya diberikan Elaun Guru Besar sebanyak RM200 sebulan.

Tambah beliau, keadaan sama juga berlaku kepada guru biasa yang dilantik ke jawatan penolong kanan di sekolah rendah apabila hanya diberi elaun bulanan sebanyak RM60 tanpa perubahan gred jawatan iaitu DG32

“Situasi ini amat berbeza de­ngan rakan-rakan kami pengetua di sekolah menengah. Seorang guru yang dilantik ke jawatan itu akan menerima perubahan gred daripada DG48 ke gred DG52 dan ditambah elaun pengetua sebanyak RM300.

“Begitu juga guru yang dilantik penolong kanan sekolah mene­ngah. Mereka yang dilantik akan dinaikkan dari gred DG44 ke gred DG48,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kabinet-kaji-gred-gaji-guru-besar-penolong-kanan-1.557921#ixzz4zdVwqVnc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Melangkah Ke Hadapan - Datuk Dr. Amin bin Senin

Helaian edaran bertajuk "Melangkah Ke Hadapan" ini merupakan ringkasan kepada fokus dan gerak kerja professioanal Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Yang Berbahagia Datuk Dr. Amin bin Senin, bagi tahun 2018.

Yang Berbahagia KPPM juga turut menyampaikan syarahan beliau, bagi memberi penjelasan berkaitan isi kandungan helaian edaran tersebut.

Helaian ini telah diedarkan kepada seluruh peserta Konvensyen Guru Besar Negeri Perak tahun 2017 yang dilangsungkan di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh.

Helaian edaran tersebut disiarkan di sini untuk perkongsian kepada seluruh warga pendidik seluruh Malaysia.