PRESIDEN Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kiri) bersama Juara dari IPG Kampus Sultan Mizan, Mashanis Mohamad (dua kanan) pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pidato Piala Presiden Gagasan 2017 di The Mines Shopping Fair. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KUALA LUMPUR: Warga pendidik adalah golongan penting dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerana hubungan mereka yang rapat dengan masyarakat terutama pelajar dan ibu bapa.
Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata guru bakal menjadi ejen untuk mentransformasi negara dengan mengangkat suara rakyat selaras dengan 'bottom-up approach'.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kemajuan yang ingin dicapai negara pada 2050 kelak bukan sekadar fizikal, namun memerlukan keseimbangan dalam aspek agama dan norma ketimuran.
"Pandangan warga pendidik penting kerana mereka antara pemegang taruh utama dalam menjayakan TN50. Ini kerana telinga merekalah yang mendengar keluhan, harapan, hasrat dan keinginan masyarakat.
"Segala pandangan dalam hujah peserta pidato itu akan dikumpulkan sebelum diserahkan kepada Sekretariat TN50," katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan Pidato Piala Presiden Gagasan, di sini, sebentar tadi.
Yang turut hadir ialah Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Rusmini Ku Ahmad; Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar dan hubungan Luar IPGM, Rahim Abdul Latiff; Setiausaha GAGASAN, Syed Anuar Syed Mohamad dan Pengerusi Pertandingan, Apli Yusof.
Pertandingan itu membabitkan saingan 22 peserta merangkumi guru pelatih daripada 21 institut pendidikan guru (IPG) di seluruh negara sebelum 12 layak ke separuh akhir dan seterusnya hanya lapan dipilih ke pusingan akhir.
Pertandingan dengan tema TN50: Memakmur Ekonomi yang Inklusif itu menyaksikan pelajar IPG Kampus Sultan Mizan, Mashanis Mohamad muncul juara.
Kemenangan itu membolehkan Mashanis membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil. Tempat kedua dimenangi Nurlyana Ezani daripada IPG Kampus Bahasa Melayu Malaysia, manakala tempat ketiga dimenangi Afdal Shyarmeezan Sapawi yang turut mengungguli Kategori Teks Terbaik. - BH Online
0 comments:
Post a Comment