Kaedah pengasingan rasmi seperti Ujian Kemasukan Tahun Satu mesti dimansuhkan sepenuhnya bermula 2019.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata amalan berkenaan bukan dasar pendidikan, namun dilakukan sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS), yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) sebelum ini.
"Selaras dengan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang mula dilaksanakan tahun ini, sekolah tidak lagi perlu mengejar GPS, kerana kita mahu semua murid dididik secara holistik, dan tidak terlalu mementingkan pencapaian akademik semata-mata.
"Tiada keperluan untuk pihak sekolah mengasingkan murid mengikut tahap akademik. Sebaliknya, kita menggalakkan semua pelajar yang mempunyai tahap penguasaan akademik dan kelebihan berbeza dicampurkan supaya dapat saling membantu.
"Kita faham ada sekolah masih mengamalkan pengasingan kelas kerana sudah menjadi kebiasaan sejak sekian lama, namun seiring dengan perubahan, terutama pelaksanaan PPSR, kita berharap amalan ini dihentikan menjelang sesi persekolahan 2019," katanya pada sidang media di Institut Aminuddin Baki di sini, hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Pelajaran Negeri juga mesti menghentikan sekolah kawalan, iaitu memilih pelajar berdasarkan pencapaian sukan, akademik serta disiplin, kerana tidak selaras dengan dasar pendidikan negara.
"Kita tidak menggalakkan amalan ini yang kadang kala menyusahkan pelajar kerana ada sesetengah kes, pelajar terpaksa pergi ke sekolah yang jauh kerana tidak diterima di sekolah berhampiran kawasan perumahannya," katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan tidak bercadang mengeluarkan pekeliling berhubung semua amalan lama berkenaan, namun berharap pentadbir sekolah memahami perubahan yang sedang dilaksanakan kementerian dan menerapkan amalan yang seiring dasar pendidikan negara.
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment