RASAH 19 Dis. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan memperkenalkan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga bagi mempertahankan sebarang tindakan yang diambil guru.
Presidennya, Kamarozaman Abd. Razak berkata, kod etika berkenaan akan menjadi panduan tatacara kepada ibu bapa atau penjaga ketika berurusan dengan pihak sekolah.
“NUTP sedang menyediakan cadangan kod etika ini dan berharap masyarakat memberi lebih perlindungan kepada guru dalam menguruskan hal disiplin dengan lebih berkesan.
“Kita mencadangkan guru diberi latihan khusus menangani masalah disiplin seperti kes berulang atau kritikal dan diharap Kementerian Pendidikan bersama-sama memperkenalkannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban di sini hari ini.
Kamarozaman hadir bagi memberi sokongan kepada Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan yang menghadapi pertuduhan mencederakan seorang murid lelaki berusia 11 tahun di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, April lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, kod etika itu membolehkan ibu bapa dan penjaga mempunyai garis panduan yang jelas untuk berurusan dengan guru jika tidak berpuas hati terhadap sesuatu isu.
Katanya, kod etika berkenaan akan dapat melindungi guru daripada menjadi sasaran kemarahan ibu bapa dan penjaga.
“Kita tidak melindungi guru yang bersalah namun dengan adanya kod etika itu nanti, ibu bapa atau penjaga akan mempunyai saluran yang lebih baik dalam menyuarakan ketidakpuasan hati, selain membantu kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Sumber: Utusan Online
0 comments:
Post a Comment